Sunday 10 March 2013

Tian Chua Ibarat Hilang Nilai Kemanusiaan - Hishammuddin


KOTA KINABALU 10 Mac - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumpamakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang mendakwa pencerobohan pengganas Sulu adalah sandiwara Umno, sebagai manusia yang sudah hilang nilai baik dan nilai kemanusiaan.

Dipetik Bernama, beliau berkata walaupun insiden pencerobohan di Lahad Datu itu telah mengakibatkan lapan anggota keselamatan negara terkorban, namun terdapat juga "manusia-manusia yang tidak berhati perut yang tidak ada perasaan kasih sayang langsung".

"Saya nak tanya Tian Chua...apakah gambar-gambar yang saya lihat sendiri dengan mata saya, puluhan yang bergelimpangan mati katak di tengah-tengah hutan juga satu sandiwara? "Sakitnya kita tengok keluarga, anak tercinta, isteri tercinta yang ditinggalkan.

Jadi ini merupakan sesuatu kesedaran bagi kita, nak berpolitik ada tempat dan masanya, dan saya tengok ini budaya kebencian yang sanggup menggadaikan segala-galanya gara-gara kerana jawatan dan rakus serta angkuh, mengenepikan sentimen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi balu Allahyarham Sarjan Baharin Hamit, Sumiati Suarah dan anggota keluarga Allahyarham di Inanam Laut, dekat sini hari ini.

Allahyarham Sarjan Baharin dari cawangan khas ibu pejabat polis kontinjen Sabah di Kepayan, dekat sini, merupakan antara enam anggota polis yang terkorban dalam serang hendap pengganas di Kampung Simunul, Semporna pada 2 Mac lepas.

"Tuhan tidak akan mengizinkan manusia-manusia sebegini berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia yang mencintai keamanan, sayang sahabat sesama agama, sama bangsa," katanya sambil menyatakan ada hikmah di sebalik insiden itu.

"Kita seharusnya melihat ke hadapan, bukan untuk diri kita tetapi anak cucu cicit kita yang kita tinggalkan selepas ini," katanya.

Sementara itu, Sumiati yang mempunyai dua orang anak berterima kasih kepada Hishammuddin yang datang sendiri melawat anggota keluarga Allahyarham.

"Lawatan ini sekurang-kurangnua memberi semangat kepada kami untuk menghadapi detik-detik kehilangan orang yang tercinta.

"Anak-anak semua dah boleh terima dan kira okay, dah stabil. Sedih-sedih...tapi dah stabil, semangat dah ada.

Kita dah faham...rasa bangga sebab dia (anak-anak) tengok ayah (gambar) di TV...balik-balik dia kata Perwira Negara," katanya.

Sumber

No comments:

Post a Comment