Monday 4 March 2013

Isu Lahad Datu : Kerajaan Nafi Sembunyi Maklumat


KANGAR 3 Mac - Kerajaan tidak pernah cuba menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu dan kawasan berhampiran di Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sebaliknya mengambil sedikit masa bagi memperolehi maklumat lengkap tentang perkembangan sesuatu kejadian di negeri itu sebelum menyalurkannya kepada umum.

"Bukan nak tutup dan tak nak beritahu rakyat. Kita kena beritahu gambaran tepat dan jelas. Kita tak nak beri maklumat terburu-buru.

"Takut nanti kita disalahkan dan dituduh cuba menakut-nakutkan rakyat Kita tunggu gambaran sebenar.

Saya dah arahkan Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera buat kenyataan (bila ada maklumat)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh, dekat sini, hari ini.

Beliau juga menegaskan, rakyat diyakini menyebelahi pihak kerajaan dalam menangani isu tersebut.

"Kita yang selama ini menjaga kedaulatan, keamanan dan ketenteraman di Sabah dan negara ini," katanya.

Mengulas mengenai kejadian puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati seorang lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terbabit dalam serangan hendap yang mengorbankan seorang pegawai dan empat anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi, Najib berkata kejadian itu menunjukkan kemarahan rakyat kepada kumpulan penceroboh itu.

"Mereka bertindak sendiri untuk menyelamatkan orang kampung yang dijadikan tebusan. Mereka tunjukkan keberanian luar biasa.

Orang kampung tak setuju dan bertindak tanpa takut akan nyawa mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau masih belum mendapat maklumat mengenai bilangan orang kampung yang dijadikan tebusan dalam insiden berkenaan.


Sumber

No comments:

Post a Comment