Sunday 3 March 2013

Isu Lahad Datu : Tempoh Rundingan Tamat


SUBANG 2 Mac - Kerajaan hari ini mengambil pendirian bahawa tempoh untuk mempertimbangkan apa jua permintaan kumpulan penceroboh di Lahad Datu telah berakhir.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kumpulan tersebut perlu memilih untuk menyerah diri atau menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa.

"Kita bertegas dalam hal ini (kematian dua komando) kerana apa yang mereka (kumpulan penceroboh) lakukan adalah jenayah yang serius.

"Mereka menceroboh negara kita dengan menggunakan senjata dan membunuh dua anggota keselamatan negara serta mencederakan tiga lagi anggota keselamatan.

Bermaksud mereka telah melakukan jenayah yang cukup berat," katanya pada sidang media selepas memberikan penghormatan terakhir kepada wira negara di balai ketibaan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, hari ini.

Tambah Najib, tiada lagi sesi rundingan dan pertimbangan melainkan kumpulan penceroboh mengambil langkah menyerah diri dalam masa terdekat ini.

Jelas beliau, dalam laporan yang diberi oleh salah seorang anggota VAT 69 yang turut terlibat dalam operasi tersebut, kematian dua komando itu disebabkan terkena perangkap kumpulan penceroboh yang mengibarkan bendera putih (menyerah diri).

"Ada diantara kumpulan penceroboh mengibar bendera putih, jadi mereka tidak sangka apabila melihat bendera putih itu ada di antara kumpulan penceroboh dari arah lain menembak dua komando itu.

"Jadi saya tidak menolak ini adalah satu perangkap yang dilakukan oleh kumpulan ini. Jadi kalau mereka melakukan teknik demikian, itu adalah tektik orang pengecut sebenarnya," tegasnya.

Anggota yang terkorban dalam tragedi di Lahad Datu ialah Insp Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan menaikkan pangkat Insp Zulkifli kepada ASP dan Koperal Sabarudin Daud kepada Sarjan.

"Dengan ini bahawa pencen yang akan diterima oleh balu-balu akan lebih tinggi lagi.

Kerajaan dan pihak polis akan menimbangkan pemberian-pemberian yang lain selepas pengurusan perkebumian dan urusan-urusan lain diselesaikan," jelasnya.

Jenazah Zulkifli diterbangkan ke Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu dan jenazah Koperal Sabarudin pula dikebumikan di kampungya di Sungai Lias, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Menurut rekod, insiden tembakan tersebut membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari Kampung Tandou di Selatan Filipina.

Sumber

No comments:

Post a Comment