Sunday 3 March 2013

PM : Penceroboh Bersenjata Punca Pertempuran di Lahad Datu


PEKAN 1 Mac - Kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah terlebih dahulu memulakan serangan terhadap pasukan keselamatan Malaysia apabila mereka mara 1.5 kilometer dari tempat mereka berkampung sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sudah memberi mandat kepada Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.

"Dua anggota keselamatan Malaysia terbunuh dan tiga lagi cedera manakala 10 hingga 12 anggota kumpulan penceroboh itu terbunuh.

"Mereka (polis dan tentera) akan diberi kuasa sepenuhnya untuk bertindak dengan apa saja mengikut budi bicara mereka tetapi kumpulan ini mesti ditumpaskan dan mereka mestilah diambil tindakan yang sepatutnya," katanya kepada pemberita sejurus melancarkan jentera Pilihan Raya kawasan Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Pekan yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.di sini hari ini.

Najib juga menyerahkan bidang kuasa kedua-dua Pemimpin mewakili keselamatan Negara itu dalam menangani isu tersebut.

"Saya tidak lagi buat keputusan. Terserah kepada mereka (panglima ATM dan Ketua Polis Negara) untuk ambil tindakan...mereka akan diberikan kuasa sepenuhnya. "(Kini) sama ada mereka (penceroboh) menyerah diri atau mereka terima apa jua kesan daripada tindakan mereka," ujarnya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu kerana sepatutnya pertumpahan darah mahu dielak daripada berlaku, akibatnya kini negara kehilangan dua anggota keselamatan.

Kumpulan itu pada ketika ini telah dikepung sepenuhnya dan pemantauan pasukan tentera laut Negara dipertingkatkan di kawasan perairan bagi mengelakkan kumpulan itu melarikan diri.

Sumber

No comments:

Post a Comment