Friday 22 March 2013

KDN Mulakan Kerangka Tugas di ESSCOM


PUTRAJAYA 21 Mac - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka tugas serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan semua pihak yang terbabit di Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), untuk diselaraskan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata penyelarasan tiga komponen utama iaitu orang awam, tentera dan polis adalah penting bagi menjamin keamanan serta keselamatan di kawasan kira-kira 1,400km pesisir pantai timur Sabah itu.

"Orang ramai adalah komponen amat penting dalam membina keyakinan masyarakat setempat, bahawa keadaan dalam negeri adalah selamat serta terkawal, dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin pihak tertentu.

"Barisan pertama pertahanan mestilah komuniti, sebab itu kita ada RELA, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam), ketua kampung, pertubuhan JKKK, dan sebagainya semua digerakkan bersama, supaya orang ramai boleh menjadi mata dan telinga dalam usaha menjaga keselamatan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas di ibu pejabat KDN di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut bagi membincangkan aspek berkaitan penyelarasan tugas dan tanggungjawab pihak berkaitan ESSCOM.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), yang meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur negeri itu mula dilaksanakan di gugusan Felda Sahabat dengan menaik taraf struktur logistik sedia ada serta penambahan anggota dan aset keselamatan.

Katanya, aset laut Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan bekerjasama bagi memastikan perairan Sabah bebas daripada ancaman luar.

Sumber

No comments:

Post a Comment