Sunday 24 February 2013

Kes Penceroboh Lahad Datu - Tempoh Keluar Hari Ini



Malaysia melanjutkan tempoh pengusiran kumpulan penceroboh dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, dekat sini, sehingga hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kerajaan membuat keputusan itu selepas memberi pertimbangan terhadap permohonan Manila supaya pengusiran dilanjutkan bagi memastikan proses berkenaan dilakukan secara baik.

Katanya, tempoh lanjutan sehingga hari ini juga diambil selepas mengambil kira keadaan di lokasi kejadian, yang berada dalam kawalan pihak berkuasa.

Permintaan kerajaan Filipina 

“Pihak berkuasa mempunyai rancangan mereka sendiri tetapi ini adalah permintaan kerajaan Filipina, yang mahu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah tanpa berlaku pertumpahan darah,” katanya, di sini, semalam.

Kelmarin, media Filipina melaporkan kerajaan negara itu meminta Malaysia melanjutkan tempoh pengusiran kumpulan bersenjata, yang menceroboh Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu sehingga Selasa ini.

Ia bagi membolehkan mereka memujuk kumpulan yang mengaku Askar Diraja Kesultanan Sulu itu pulang ke negara asal secara aman tanpa membabitkan pertumpahan darah. Permohonan itu disampaikan Menteri Luarnya, Albert del Rasario kepada Anifah.

Sementara itu, Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Datuk Ahmad Marzuki Mohd Saad, meminta orang ramai supaya tenang kerana keadaan adalah terkawal.

“Pasukan keselamatan sudah melaksanakan pemantauan bagi memastikan keadaan selamat.

“Kita juga berterima kasih dengan sumbangan diberikan pelbagai pihak, yang mampu menaikkan semangat anggota bertugas,” katanya.
SUMBER

No comments:

Post a Comment