Wednesday 3 April 2013

Pembubaran Parlimen : Nafas Segar kepada Pelabur



Pengumuman pembubaran Dewan Rakyat ke-12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 hari ini sudah pastinya akan memberikan nafas baru dan segar kepada semua orang, terutamanya pelabur asing.

 Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa, Tan Sri Ramon Navaratnam, berkata ini ialah kerana penangguhan yang lama dan jangkaan berhubung bilakah pengumuman itu akan dibuat telah menyebabkan ketidakpastian dan kesukaran membuat keputusan terhadap pelaburan dan peluasan.

 "Kini, pengumuman pembubaran sudahpun dibuat dan diharapkan pilihan raya akan diadakan bulan ini, kalau tidak, kelebihan akan pengumuman itu akan berkurangan," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.



 Sementara itu, bekas presiden Gabungan Dewan Perdagangan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk VKK Teagarajan berkata pelabur asing hanya boleh berspekulasi sama ada akan melabur di Malaysia berdasarkan kepada keputusan pilihan raya.

 "Tempoh selepas pilihan raya akan menjadi kriteria utama untuk pelabur asing, sama ada mahu melabur ataupun tidak. Mereka pastinya mahu melihat samada demokrasi diamalkan pada tahap tertinggi selepas pilihan raya jika mereka mahu melabur di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment