Wednesday 10 April 2013

Ikrar Hishammddin bersama 2 Ribu Jentera BN Sembrong


Semangat yang ditonjolkan para penyokong dan jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Sembrong bakal membuktikan penolakan pengundi secara keseluruhannya terhadap Parti Pembangkang di Negeri ini.

Penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setiap ahli digesa bekerja keras dalam dalam memastikan BN terus kekal sebagai Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

"BN telah mula bekerja keras sejak selepas pilihan raya umum yang lalu lagi.

Oleh itu kini adalah masa untuk kita semua menggandakan usaha memastikan BN terus mencatatkan kemenangan.

"Kita jangan biarkan pembangkang masuk ke Sembrong kerana sebelum ini mereka tidak pernah jenguk ke pelusuk Parlimen ini, hanya tiba masa pilihan raya baru tunjuk muka dan memecahbelahkan masyarakat majmuk di sini," katanya ketika berucap melancarkan jentera BN Parlimen Sembrong di Dataran Taman Gunung Lambak di sini malam tadi.

Majlis tersebut telah dihadiri lebih 2,000 penyokong dan jentera BN bagi kawasan Parlimen berkenaan.

Naib Presiden UMNO itu turut membidas kerjasama Pakatan Pembangkang yang secara jelas tidak utuh malah bertindak menjadi pak turut dalam mengejar kuasa terutamanya merebut jawatan Perdana Menteri.

Katanya, barisan komponen BN lebih bersatu padu sejak sekian lama dalam menentukan hala tuju serta membangunkan negara.

"Tiada apa yang dilakukan pakatan pembangkang selain mengamalkan politik perpecahan, sehingga kejadian pencerobohan di Lahad Datu juga dikatakan sandiwara UMNO.

"Ia membuktikan bahawa pembangkang tidak serius berkhidmat untuk masyarakat sebaliknya hanya mementingkan hal politik sepanjang masa," jelasnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, Hishammuddin memenangi kawasan Parlimen Sembrong untuk penggal yang kedua menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Sang dengan majoriti sebanyak 11,570 undi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memperoleh 17,988 undi berbanding Lee Sang yang hanya mendapat 6,418 undi.

Sumber

No comments:

Post a Comment