Hasrat pakatan pembangkang yang mahu mencetuskan huru-hara sekiranya tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jelas bertentangan dengan konsep masyarakat madani (bertamadun) yang pernah menjadi aspirasi ketuanya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, masyarakat madani pernah diperjuangkan sendiri oleh Anwar sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri tetapi kini konsep tersebut ditolak belakang oleh para penyokongnya dan beliau sendiri.
Kita amat memuji Eropah, Australia dan beberapa negara maju yang lain yang tidak menggunakan demonstrasi sekiranya tewas dalam mana-mana pilihan raya.
Kita mahu pembangkang di negara ini mengikut aspirasi Anwar sendiri yang pernah memperkenalkan konsep masyarakat madani di negara ini yang dipandang tinggi suatu masa dahulu, katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai hasrat parti pembangkang yang didakwa cuba mencetuskan suasana huru-hara semasa PRU-13 selepas tersebarnya risalah mengandungi cara untuk mewujudkan ketegangan di pusat-pusat mengundi di kawasan tertentu.
Penyebaran risalah yang mengandungi tiga peringkat itu didedahkan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah, 29 Mac lalu.
No comments:
Post a Comment